Mengapa Teh (Çay) Begitu Istimewa Di Hati Masyarakat Turki?

Pernah tak kita tertanya-tanya, apakah minuman tradisi kita sehingga kita boleh minum sepanjang hari 24 jam / 7 hari?

Teh tarik atau Teh susu kah?

Teh O kah?

Milo Ais kah?

Lagi?

Selain air mineral, pastinya dalam sehari tu kita akan minum minuman yang berbeza-beza, kan?

Tak apa, saya tinggalkan persoalan ini pada anda yang sedang membaca tulisan ini. 😉

Di Turki pula, antara minuman tradisi mereka yang terkenal selain kopi (Türk Kahvesi) adalah teh yang dikenali sebagai çay(baca chay).

Masyarakat di sini, mula daripada bangun pagi sehinggalah sebelum masuk tidur kalau tak pekena çay memang tak sah dan tak keruan dibuatnya.

Selepas sarapan pagi, minum çay, di tempat kerja, minum çay, ketika business meeting pun, minum çay, ketika urusan tawar menawar, penjual akan cuba menawarkan segelas çay kepada bakal pembelinya sebagai ikram (penghormatan) dan menjadi minuman wajib selepas makan tengah hari & makan malam.

Sehinggalah ada pepatah Turki menyebut :

Çaysız bir sohbet, aysız gökyüzü benzer

(Sesuatu perbualan tanpa (secawan) teh bagaikan langit tanpa bulan.)

Mesti kita tak boleh bayangkan jika setiap masa dan setiap tempat, kita hanya minum satu jenis minuman sahaja, kan? Boleh jadi kita akan naik bosan dan muak. Hehehe. 😆

Kalau tak percaya juga, cuba tonton video rakaman tersembunyi di bawah ini, lihat bagaimana reaksi masyarakat tempatan jika restoran di Turki ni tidak menyediakan çay untuk mereka?

Kredit : Çaykur (Çay Yoksa)

Bagaimana Budaya Minum Teh Ini Meresap Masuk Ke Dalam Budaya Turki?

Penggunaan daun teh ini dipelopori oleh warga Cina sebagai minuman herba dan ubat mujarab yang mampu menghindarkan & menyembuhkan penyakit (dengan izin Allah)

Kemudian, teh mula diperkenalkan hampir ke seluruh dunia melalui Jalan Sutera (Silk Road).

Jalan Sutera (Silk Road) merupakan laluan perdagangan barangan sutera & porselin dieksport dari Cina & Jepun ke Rom dan sebagainya.

Antara Laluan Perdagangan Jalan Sutera Yang Semuanya Berakhir Di Kawasan Rom.

Terdapat pelbagai pendapat mengenai Jalan Sutera :

  • Laluan Utara: Cina – Mongolia – Negara-negara Asia Tengah – Laut Kaspia (Caspian Sea) – Negara-negara Kaukasia (Caucasian Countries) – Rom.
  • Laluan Tengah: Cina – Negara-negara Asia Tengah – Iran – Rom.
  • Laluan Laut: Pantai Cina – India – Sri Lanka – Laut Merah – Rom.

 

Dari segi laluan Jalan Sutera yang membawa masuk teh ke Turki Uthmaniyyah, ahli sejarawan berbeza pendapat antaranya :

  1. Melalui pedagang-pedagang Arab pada abad ke-15.
  2. Melalui kafilah dagang Parsi pada akhir abad ke-15
  3. Melalui laluan Azerbaijan – Georgia.

 

Walaupun kopi Turki dihidangkan di dalam cawan yang kecil, tetapi rasanya memang ‘kow’.

Di zaman pemerintahan Uthmaniyyah dahulu, minuman yang paling masyhur dan diminati masyarakat tempatan adalah kopi yang kebanyakannya dieksport dari negara Yaman yang mana terkenal dengan biji kopi yang berkualiti.  (Nantikan perkongsian daripada kami mengenai kopi Turki, insya-Allah)

Selepas Peperangan Dunia I (World War I), jualan kopi semakin mahal termasuklah kesukaran untuk membawa bahan-bahan mentah kopi dari Yaman dan negara-negara lain.

Sebagai alternatif, kerajaan Republik Turki yang baru, mula memperbanyakkan lagi penanaman daun teh yang mana kosnya jauh lebih murah berbanding kopi pada akhir abad 1930-an. Daripada saat inilah, minuman teh menjadi kegemaran masyarakat tempatan.

Boleh dikatakan 4 cawan teh = 1 cawan kopi ketika itu.

Salah satu ladang teh yang subur di Rize, Turki.

Pada 1937, mereka membawa masuk sekitar 20 tan biji benih teh dari Batum di Republik Georgia dan ditanam di Rize, Turki. Semenjak itu, penanaman teh mula banyak ditanam di sekitar kawasan Laut Hitam (Black Sea).

Menurut Organisasi Makanan & Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Food and Agriculture Organization of the United Nations), negara Turki adalah pengguna teh ke-3 tertinggi di dunia selepas Cina & India.

Manakala, dari segi pengeluaran teh, Turki menduduki tangga ke-5 dunia selepas Cina, India, Sri Lanka & Kenya.

 

Apa Yang Membuatkan Teh Di Turki Ini Berbeza Dari Negara Lain?

Dahulu jenis teh yang saya tahu adalah teh hijau (yeşil çay). Rasanya agak tawar dan sedikit jernih warnanya. Sampai sahaja di Turki, saya mula mengenali satu lagi jenis teh iaitu siyah çay(teh hitam) yang rasanya lebih pekat dan agak pahit. Kedua-dua jenis teh ini mempunyai manfaat yang berbeza-beza kepada tubuh badan manusia.

Perbezaan dari segi warna minuman antara daun teh hijau (di belakang) & daun teh hitam (di hadapan).

Walaupun dipanggil dengan panggilan siyah çay (teh hitam), sebenarnya ia merujuk kepada jenis warna daun teh yang lebih banyak dioksidakan & tempoh luputnya jauh lebih lama berbanding daun teh hijau.

Masyarakat barat pula mengenalinya sebagai ‘red tea’ kerana warnanya bertukar menjadi kemerah-merahan selepas daun teh tadi menjadi kembang direndam dengan air panas.

 

Bagaimana Cara Penyediaan Teh Di Turki?

Teh Turki sangat simple dan mudah, hanya secawan teh panas & dua kiub gula sudah cukup untuk mereka nikmati kelazatan çay. Orang tempatan di sini tidak minum teh bersama dengan susu seperti kita (teh susu) dan kurang gemar menggunakan uncang dalam penyediaan teh mereka.

Teko teh mereka sangat unik yang dipanggil sebagai ‘çaydanlık‘ (teko berkembar).

Air kosong dipanaskan pada teko bawah yang lebih besar saiznya. Selepas air panas menggelegak, daun-daun teh yang sudah diisi sebanyak 2-3 sudu teh besar di dalam teko atas akan dituang air panas tadi sehingga penuh. Teko bawah pula akan dipenuhkan semula dengan air kosong untuk dipanaskan sehingga mendidih sekali lagi.

Antara tujuan utama mengapa diasingkan antara air panas (teko bawah) & air teh pekat (teko atas) adalah untuk memudahkan seseorang untuk minum teh pekat ataupun cair.

Ingat dua ayat dibawah ni, jika anda ingin minum teh di Turki :

Açık çay: Teh cair

Koyu çay: Teh pekat (rasanya kuat & sedikit pahit)

Yang menariknya, teh disini disediakan dengan segelas cawan kecil berbentuk tulip yang mana ia adalah bunga kebangsaan negara Turki.

 

Di kedai-kedai lepak seperti Çay Evi (tea house), orang Turki akan minum çay paling kurang 3-6 cawan sekali.

Rasailah pengalaman bergaul dan bermesra dengan rakyat tempatan di Turki sambil berpandukan buku I’M A BACKPACKER: TURKEY di dalam bahasa Melayu.

 

Rujukan:

  • Yudum Yudum Çay Kültürü, Pelin Aylangan.
  • Tarih-i Peçuyi, 1980.
  • Ottoman Civilization, Prof. Halil Inalcik.

 

Anda nak tahu lebih banyak lagi info dan tip travel di Turki
khususnya di Istanbul, Bursa, Pamukkale, Cappadocia?

Buku siri’I’M A BACKPACKER: TURKEY‘ terbitan Puteh Press yang telah pun terbit pada 25 September 2017. Dan telah dijual di kedai-kedai buku berdekatan seperti MPH, Populer, Kinokuniya dan banyak lagi

Buku setebal 248 mukasurat dan semurah RM25 senaskah bukanlah buku tentang travelog tetapi TRAVEL GUIDE versi bahasa Melayu lengkap yang merangkumi ISTANBUL & BURSA dan bonus untuk di PAMUKKALE dan CAPPADOCIA.

Mahu Buku Dihantar Terus ke Rumah Anda?

Klik LINK ini untuk pembelian sekarang.

Penulis : Shafiq Shafie

Follow kami di Facebook (Jejak Uthmaniyyah Page) dan Instagram (jejakuthmaniyyah_ig) untuk update dan info terkini.

Jom bersama Jejak Uthmaniyyah mengembara ke Turki menikmati keindahan 4 musim
sambil berkongsi mengenai sejarah Islam  khususnya Daulah Uthmaniyyah
yang telah bertahan hampir 600 tahun 
di setiap tempat yang kita akan jelajahi.

Klik Gambar Di Atas

What is your opinion ?

comments

Apa pandangan anda ?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.