Adakah Erdoğan Seorang ‘Khalifah Baru’ atau ‘The Prince’?

Seronok pula saya tengok Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menjentik politikus Belanda dan Jerman. Mungkin di zaman kita, Erdogan adalah satu-satunya pemimpin Muslim Sunni yang masih mampu menunjuk taring di depan Barat.

Sebelum mengulas pasal geopolitik di sebaliknya, saya ingin bercerita pasal Erdogan.

Saya kurang bersetuju dengan media Barat yang menyifatkan Erdogan sebagai Sultan atau Khalifah baru. Mereka mempunyai agenda untuk memburuk-burukkan institusi Khalifah dengan mengaitkan nama Khalifah dengan kekurangan yang ada pada diri Erdogan.

Buku The Prince yang dikarang oleh Niccolo Machiavelli

Erdogan bukan Sultan, apatah lagi Khalifah. Beliau sebenarnya adalah jelmaan ‘il principe‘ atau ‘the prince‘ yang diceritakan oleh Niccolo Machiavelli dalam buku Sang Penguasa (‘The Prince‘) yang diterbitkan pada tahun 1532.

Machiavelli?

Bukankah itu sosok yang sinonim dengan politik kotor yang bermottokan ‘matlamat halalkan cara’ (‘the end justifies the means‘)? Adakah saya sedang mengutuk Erdogan?

Ini bukan kritikan terhadap Erdogan. Ini sebuah pujian. Orang yang tak pernah baca Sang Penguasa serta mendalaminya mungkin tidak tahu bahawa ungkapan ‘matlamat halalkan cara’ tidak wujud dalam buku Sang Penguasa. Itu adalah dakyah musuh Machiavelli untuk menjauhi orang dari buku tersebut.

Machiavelli tidak mengajar politik kotor, tetapi ‘real-politik‘.

 

Machiavelli bukan seorang politikus jahat, beliau adalah seorang yang berjiwa bangsa. Beliau bercita-cita untuk membebaskan Itali dari cengkaman kuasa asing. Itali ketika itu berpecah kepada beberapa negeri kecil: ada Florence, Milan, Venice, Genoa, Naples dan lain-lain.

Kuasa asing seperti Perancis memanipulasi perpecahan ini untuk mencapai cita-citanya. Machiavelli mengharap ada seorang ‘Sang Penguasa‘ yang akan muncul sebagai penyelamat bangsa.

Bagi Machiavelli, ciri utama Sang Penguasa mestilah :

  1. seorang yang bebas dari kongkongan ajaran moral yang jumud.
  2. Sang Penguasa mestilah mampu dan sanggup menjadi ‘jahat’. Ini kerana dunia yang nyata penuh dengan orang jahat.
  3. Mahu mencapai kejayaan di dunia yang nyata, maka perlulah bertindak mengikut prinsip ‘realpolitik’ yang nyata. Orang lain berhelah, dia pun mesti berhelah. Orang lain bermuslihat, dia pun mesti bermuslihat.

 

Bagi Machiavelli, menjadi jahat bukan satu pilihan, tetapi satu kemestian atau ‘Necessità’ (necessity).

Orang yang tidak bijak berhelah umpama orang yang menunggu nasib atau ‘Fortuna’ (fortune) dan nasib itu tidak selalu menyebelahi manusia.

Pemimpin yang mampu bertindak secara ‘Necessità‘ dikatakan mempunyai keterampilan atau ‘Virtù’ (virtue).

 

Tapi pada masa yang sama, Sang Penguasa yang unggul perlu kelihatan baik dan jujur meskipun pandai bermuslihat. Di luar, Sang Penguasa adalah singa. Di dalam, Sang Penguasa adalah musang.

 

Pernah suatu ketika dahulu, umat Islam memberi harapan besar kepada Morsi dan Erdogan supaya menjadi Nuruddin dan Saladdin moden. Namun Morsi tersungkur dalam perjuangan. Kerana Morsi seorang yang baik, sedangkan musuhnya Al-Sisi begitu jahat.

Morsi mencabar kepentingan Al-Sisi tanpa strategi. Morsi bergantung kepada Fortuna semata-mata. Beliau percaya, dengan berada di pihak yang benar, maka ‘Fortuna’ akan memihak kepadanya. Namun, beliau disingkirkan dan menjadi pihak yang kalah.

Orang baik tanpa strategi
akan dikalahkan oleh orang jahat.

 

Di Turki, golongan Kemalis mengawal pentadbiran tentera. Mereka ialah penganut ideologi Mustafa Kemal Ataturk. Mereka lebih jahat dan kejam dari Al-Sisi. Adnan Menderes yang menghidupkan kembali syiar Islam digulingkan oleh Kemalis dan dihukum gantung sampai mati pada tahun 1960.

Necmettin Erbakan meletak jawatan sebagai perdana menteri pada tahun 1997 walaupun memenangi pilihanraya. Kemalis tidak akan membenarkan sesiapa mencabar sistem sekular. Bagaimana pemimpin Muslim memperjuangkan hak orang Islam dalam keadaan sebegini?

 

Pertama sekali, Erdogan ‘menyamar’ seolah-olah beliau tidak memberi ancaman kepada sistem Kemalis. Parti AKP tidak mempunyai agenda Islamis seperti Erbakan. Malah Erdogan ‘mendukung’ sekularisme dan demokrasi. Dengan itu, Erdogan dapat memperolehi kuasa tanpa menyinggung perasaan Kemalis.

Kemudian, Erdogan bekerjasma dengan Fethullah Gulen, seorang agamawan yang mempunyai ramai pengikut di kalangan cendekiawan, media, orang kerajaan dan tentera. Mereka berjaya menyingkirkan Kemalis melalui perbicaraan wayang terhadap ‘Sledgehammer‘ dan ‘Ergenekon‘.

Walaupun Gulen berjasa kepada Erdogan, namun Gulen berpotensi menjadi ancaman. Penyokong dan murid Gulen ada di mana-mana, membentuk ‘Parallel State‘ yang menyaingi kerajaan Erdogan.

Potensi itulah yang perlu disingkirkan. Yang lebih bahaya, Gulen mempunyai rangkaian di Amerika, dan itu akan dijadikan sebagai ‘trump card‘ oleh Amerika satu hari nanti untuk ‘K.O.‘ Erdogan.

Peristiwa 15 Julai di Turki (Sumber Gambar)

Kudeta 15 Julai merupakan mahakarya percaturan Erdogan. Kudeta itu bukanlah lakonan atau sandiwara. Cuma Erdogan tidak menghalang. Kerana ia adalah peluang emas bagi Erdogan mencantas Gulenis.

Kalau cantas di belakang tabir, rakyat tak nampak, malah media pro-Gulen akan menyalahkan Erdogan. Maka Erdogan membiarkan ia berlaku, supaya rakyat benci kepada Gulenis. Erdogan meminjam tangan rakyat untuk mencantas Gulenis. Erdogan menjadi wira massa dan wira demokrasi. Gulen dicop pengkhianat dan musuh awam (‘public enemy‘).

Yang lebih penting, kudeta itu adalah serampang dua mata. Menggunakan alasan Amerika menyokong Gulen, Erdogan dapat menyelesaikan masalah antara Turki dan Rusia.

Sebelum Erdogan mengalih kiblat (bukan kiblat solat tapi kiblat geopolitik) ke Moscow, Erdogan telah siap-siap menyingkirkan Ahmed Davutoglu. Visi geopolitik ‘Neo-Ottoman’ Davutoglu, bercanggah dengan keperluan strategik Erdogan, maka Davutoglu digantikan dengan Binali Yıldırım yang setia terhadap Erdogan dan tidak mempunyai visi geopolitik tersendiri.

Rakan seperjuangan Erdogan semua telah disingkirkan, satu per satu. Tiada lagi bantahan dan halangan terhadap Erdogan.

Kertas Undi yang bertulis Hayır (Tidak) atau Evet (Ya) kepada sıstem berpresiden penuh di Turki yang akan dijalankan pilihanrayanya pada 16 April 2017 (Sumber gambar)

Referendum 16 April adalah anak tangga terakhir bagi Erdogan mencapai kuasa mutlak. Di sebalik kulit Singa Anatolia itu ialah sosok musang yang licik.

Dengan bertindak secara Necessità, Erdogan menguasai Virtù dan menewaskan Fortuna. Mungkin ia berbaloi demi memelihara ‘maslahah’ yang lebih besar.

‘Bad, for the greater good’.

 

*Cerita di atas adalah rekaan semata-mata bagi drama ‘House of Cards: House of Erdogan’, watak-watak yang disebut tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati.

Ayman Rashdan Wong
PTD, Federal Government of Malaysia

Jom bersama Jejak Uthamaniyyah mengembara ke Turki menikmati keindahan 4 musim sambil berkongsi mengenai sejarah Islam  khususnya Daulah Uthmaniyyah yang telah bertahan hampir 600 tahun di setiap tempat yang kita akan jelajahi.

Klik Gambar Ini

What is your opinion ?

comments

One Comment

Apa pandangan anda ?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.