Episod 3 : Süleyman Paşa Sang Pembuka Kota Rom (Bahagian 2)

Sultan Orhan Bin Osman mempunyai tiga orang putera melalui pernikahan baginda bersama isterinya yang pertama, Nilüfer Hatun. Antaranya adalah:

  1. Putera Süleyman
  2. Putera Murad I
  3. Putera Kasem

Sebagai putera sulung, Süleyman Pasha memainkan peranan yang penting dalam menerajui sistem pentadbiran Daulah Uthmaniyyah.

Beliau dianugerahkan pangkat dan jawatan pada 1332M oleh Sultan Orhan sebagai salah seorang ahli tertinggi di dalam majlis pentadbiran kerajaan, Divan (Agensi Kerajaan Osmanlı) dan juga sebagai seorang Mirimiran  (Komander Tertinggi) di dalam unit Ketenteraan Uthmaniyyah.

Sultan Orhan sentiasa mengingatkan putera-puteranya dengan berkata :

“Rakyat yang berada di bawah naungan kita hendaklah sentiasa dibincangkan di dalam Divan (mengambil berat tentang kebajikan & keadilan untuk semua).

Kerana, ini adalah kewajipan kita untuk menghidupkan kembali cara hidup Islam dan sistem pemerintahan Daulah melalui kuasa Sultan
sebagai seorang Khalifah Allah.”

Feridun Beğ, Mecmu’a-i Münsheat-ı Selatin, İstanbul 1274.

Nota :  Khalifah mengikut tafsir Ibnu Katsir ialah orang yang memutuskan perkara di antara manusia tentang kezaliman yang terjadi dikalangan masyarakat dan mencegahnya daripada melakukan perbuatan terlarang mengikut syariat Allah S.W.T.

 

Sementara itu, masyarakat Eropah yang kini dilihat hebat dan maju dipandangan kita, mereka dahulunya masih lagi hidup dalam keadaan terumbang-ambing, mengamalkan sistem perhambaan yang mana hamba dilayan seperti binatang yang tiada harga diri, hak wanita tidak terbela sama sekali dan pelbagai lagi yang tidak mampu kami huraikan satu persatu. Ketika itu, mereka dikawal melalui sistem Dekri Kostantin Maharaja Rom.

Nota : Dekri ialah perintah yang diberi oleh raja atau pihak berkuasa yang mempunyai kuasa undang-undang.

 

Berbeza pula dengan keadaan masyarakat di bawah naungan kerajaan Islam, Daulah Uthmaniyyah, yang mana mereka hidup dalam keadaan harta benda mereka selamat dari sebarang kecurian dan rompakan (jika ada akan dibawa kemuka pengadilan tanpa mengira kasta), keadilan ditegakkan, kedamaian dan keharmonian sentiasa dititikberatkan demi mencapai tugas mereka sebagai khalifah Allah di muka bumi.

 

Kerajaan Islam tidak hanya pada Daulah Uthmaniyyah sahaja ketika itu, bahkan wujud juga kerajaan-kerajaan Islam yang kecil di sekitarnya selepas berpecahnya kedaulatan Seljuk dan runtuhnya Khilafah Abbasiyyah.

Antara kerajaan yang masih wujud ketika itu adalah Karesi Beğlik yang dipimpin oleh Ajlan Beğ.

 

Walaupun terdapatnya perbezaan dari segi sistem pentadbiran dikalangan kerajaan Islam ketika itu, namun mereka bersatu untuk berjihad membuka wilayah-wilayah yang dimiliki Empayar Rom kepada nikmat iman dan Islam.

 

Pada 1334-1335 kerajaan Uthmaniyyah diberikan amanah & tanggungjawab untuk memimpin sendiri wilayah yang ditadbir oleh kerajaan Karesi selepas dua orang pewaris Ajlan Beğ telah meninggal dunia.

Pasukan infantri dan prajurit Uthmaniyyah semakin bertambah kuat selepas pasukan komander dan askar kerajaan Karesi bernaung dan bersatu di bawah kedaulatan Uthmaniyyah.

 

Laut Marmara yang terletak di dalam wilayah Turki

Kini, setelah kekuatan dan pengaruh mereka semakin berkembang, Sultan Orhan mula mempertimbangkan untuk menyeberangi Laut Marmara bagi menyebarkan syiar dan suara Islam di sana.

Hasratnya itu cuba disampaikan kepada putera sulungnya, Süleyman Pasha dan dengan yakin puteranya itu menjawab sambil berkata :

“Jika ayah mengarahkan aku untuk melakukannya,
(aku tidak gentar) aku akan menyeberangi lautan itu dengan bantuan Allah & Rasul-Nya.
Aku akan menyeru dan berusaha menghilangkan kegelapan
yang menyelubungi kawasan itu kepada cahaya iman dan Islam.”

 

Putera sulungnya itu, tanpa teragak-agak terus menyahut seruan ayahandanya dengan bantuan dua orang bekas komader kerajaan Karesi, Yaqub Eje Beğ dan Gazi Fazil.

Mereka berdua telah mencadangkan kepada Süleyman Pasha  untuk menyeberang melalui jalan yang paling sempit untuk mengelakkan dari dikesan oleh musuh.
Sampai sahaja di pinggir pantai, Süleyman Pasha telah menangkap seorang petani tempatan dan membawanya pulang ke markaz untuk membantu mereka merancang dalam misi membuka istana kota Chimbeni.

Süleyman Pasha cuba meyakinkan petani tersebut tujuan kedatangan mereka ke sana bukan untuk membuat kerosakan di tanah mereka tetapi untuk mengeluarkan mereka dari kezaliman dan penindasan kepada keadilan dan kedamaian di bawah panji Islam. Dan akhirnya, petani tersebut setuju dan menolong mereka tentang selok belok di kota tersebut.

 

Selat Dardanelle adalah selat paling sempit di bahagian barat laut Turki dan dikenali di dalam bahasa Turki sebagai Çanakkale Boğazı.

Selepas beberapa hari merancang, Süleyman Pasha telah memilih 80 orang dari pasukannya yang terbaik untuk membuka istana kota Chimbeni di malam hari melalui laluan selat Dardanelle.

Keesokan paginya, beliau telah menyelinap masuk ke pelabuhan kota dan merampas beberapa buah kapal-kapal musuh untuk dihantar kembali ke Anatolia sambil membawa 200 orang mujahidin lagi ke istana kota Chimbeni.

Dengan itu, ia menguatkan lagi pasukan gempur Uthmaniyyah dan di akhir pertempuran bukan sahaja istana Chembeni dapat dibuka bahkan istana Ayashilunye yang berada tidak jauh dari situ juga turut jatuh ke tangan kaum muslimin.

Tidak cukup sekadar itu, tentera Uthmaniyyah berpecah mengikut komander masing-masing dalam ekspedisi membuka wilayah-wilayah kota Rom kepada Islam.

Komander Yaqub Eje memimpin pasukannya bersama komander Gazi Fazıl menuju ke kawasan Semenanjung Galipoli dan telah berjaya membuka sebuah kota yang telah ditukar namanya kepada Eceabat.

Kemaraan kaum muslimin dalam membuka setiap kota untuk berada di bawah naungan kerajaan Islam, Turki Uthmaniyyah, telah mendatangkan kebimbangan besar kepada Empayar-empayar Kristian Eropah tetapi mereka tidak mampu menyerang balas kerana masih wujudnya pelbagai konflik  dikalangan kerajaan Kristian yang berbeza fahaman dan ideologi yang menyebabkan mereka tidak mampu bersatu di atas satu panji.

 

Disebabkan itu, Süleyman Paşa begitu terkenal dengan gelaran Rumeli Fatihi (Pembuka kota Rom) kerana beliau merupakan orang pertama dan yang paling hadapan dalam memipin pasukan Uthmaniyyah menuju dan membuka kota-kota Rom di wilayah Eropah.

Rujukan :

 

Shafiq Shafie
Research & Development Jejak Uthmaniyyah

Klik Gambar Di Atas

What is your opinion ?

comments

Apa pandangan anda ?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.