Ertugrul Gazi : Kisah bermulanya sebuah empayar agung

Drama bersiri Dirilis: Ertugrul

Sebelum ini ramai yang tidak pernah mendengar nama Ertugrul. Namun setelah drama bersiri yang bersandarkan watak didalam sejarah Uthmaniyyah ini diwujudkan, nama Ertugrul Gazi sudah menjadi bualan mulut orang ramai. Malah drama bersiri yang berjudul “Dirilis: Ertugrul” ini menjadi fenomena bukan sahaja di Turki, tetapi diseluruh pelusuk dunia seperti di Malaysia, Indonesia, UK, negara-negara arab dan juga latin Amerika. Namun siapakah Ertugrul Gazi ini? Wujudkah tokoh ini atau hanya fiksyen semata? Dan mengapa dia dilihat sebagai watak yang penting didalam sejarah Turki dan islam?

Ayah kepada sang pengasas

       Sumber sejarah mencatatkan bahawa Ertugrul Gazi merupakan seorang pemimpin dari bangsa Oghuz Turk dari suku Kayi. Beliau merupakan seorang bey yang berkhidmat dibawah kepimpinan kesultanan Seljuk yang ketika itu berpusat di Konya. Sebelum dia menjadi pemimpin suku Kayi, catatan sejarah mencatatkan bahawa ayah beliau, Suleyman Shah membawa kaum mereka berhijrah daripada asia tengah ke semenanjung Anatolia melarikan diri daripada serangan Mongol. Oghuz Turk terkenal dengan budaya kehidupan nomad mereka dan ini menjadikan penghijrahan besar-besaran mereka mudah.

       Setelah Suleyman Shah meninggal dunia, anak beliau Ertugrul dilantik sebagai ketua suku Kayi dan memakai gelaran bey (lord). Ertugrul digambarkan sebagai ketua yang tegas, mahir dalam selok belok peperangan dan persenjataan. Diatas semangat dan keberanian yang ditunjukkan oleh Ertugrul dan pengikutnya, kerajaan Seljuk mengurniakan sebidang tanah di Sogut untuk Ertugrul dan kaumnya membina penempatan untuk mereka dan berkhidmat dibawah kerajaan Seljuk untuk menjaga wilayah Seljuk daripada ancaman Byzantine.

      Ketika hayat Ertugrul, tiada catatan sejarah yang menulis mengenai kehidupan beliau. Ini menjadikan sukar untuk sejarawan menulis dan mengkaji tentang hidup beliau. Sumber-sumber sejarah yang dijumpai walaupun sedikit ianya cukup untuk mencatatkan tentang kepentingan Ertugrul didalam mempengaruhi pembentukan awal kerajaan Uthmaniyyah di Sogut. Banyak catatan mengenai Ertugrul ditulis selepas beliau mati, khususnya ketika pemerintahan Osman Gazi pengasas kerajaan Uthmaniyyah yang merupakan anak kepada Ertugrul Gazi. Sejarawan tidak dapat mengesahkan seratus peratus mengenai catatan yang ada kerana kebanyakannya dibuat berpuluh selepas beliau mati. Namun dari sudut penceritaan dan bukti-bukti yang ada menunjukkan bahawa Ertugrul merupakan seorang tokoh yang berpengaruh.

Makam Ertugrul Gazi di Sogut

Diantara realiti dan fiksyen

        Drama bersiri Dirilis:Ertugrul mengisahkan tentang Ertugrul dan usahanya membawa keamanan di kawasan sekitar Anatolia. Beliau yang merupakan ketua suku Kayi memainkan peranan untuk memastikan sukunyan hidup dengan aman jauh dari ancaman Byzantine, Mongol dan pemimpin beylik yang lain. Ramai yang meminati drama ini kerana aksi pertempuran, lawan pedang dan menaiki kuda yang dibawa secara asli serta plot yang disusun rapi dengan penceritaan yang sempurna. Pengkritik filem juga berpendapat Dirilis Ertugrul merupakan drama bersiri ‘Game of Thrones’ versi islamik. Perbezaannya ialah Dirilis dijayakan dengan menjaga unsur-unsur syarak. Tiada adegan tidak senonoh bahkan diterapkan nilai-nilai ketuhanan dan jihad menegakkan kebenaran.     

Walaupun drama ini bertemakan sejarah, penghasilan drama ini bukanlah seratus peratus tepat berdasarkan fakta sejarah. Penerbit yang menghasilkan drama ini berjaya mengolah kehidupan Ertugrul dengan aksi-aksi dan penceritaan yang menarik. Sebagai contoh, didalam drama tersebut, Ertugrul sentiasa dikelilingi oleh rakan yang sentiasa setia dengannya seperti Turgut Alp dan Bamsi Beyrek. Tiada catatan sejarah yang jelas mengenai kehidupan mereka namun penceritaan mengenai mereka dan peranan mereka membuatkan penonton terpukau dengan keberanian mereka.

Pelakon utama Dirilis: Ertugrul, Engin Altan Duzaytan bergambar dengan peminat di Doha

Hero kebanggaan Umat

Perdebatan mengenai keaslian kisah Ertugrul didalam drama Dirilis:Ertugrul tidak menghalang watak ini menjadi inspirasi dan diangkat sebagai hero. Malah watak hero didalam karya barat kebanyakkanya semua adalah fiksyen. Seperti watak hero yang lain, Etugrul berjaya menjadi nafas baru kepada umat islam apabila pertama kali dalam sejarah tokoh islam diangkat menjadi hero didalam drama bersiri. Ramai ibu bapa menarik nafas lega kerana akhirnya ada watak yang boleh diketengahkan sebagai hero kepada anak-anak mereka.

Di UK misalnya ramai ibu bapa muslim lebih cenderung untuk anak-anak mereka menonton drama Ertugrul kerana drama ini membawa nilai islam dan muslim digambarkan di dalam media secara betul. Di dalam suasana globalisasi dan pengaruh negatif didunia barat, Dirilis: Ertugrul muncul pada waktu yang tepat untuk mengetengahkan nilai islam pada masyarakat muslim yang berada di eropah. Muslim kebiasannya digambarkan didalam karya barat sebagai pengganas, bersifat barbaric dan tidak bertamadun. Dirilis: Ertugrul berjaya menyangkah gambaran ini.

Drama Dirilis: Ertugrul juga membawa mesej agama yang jelas. Ketika Ertugrul berada didalam kesusahan atau berada diposisi yang kritikal, Ertugrul sentiasa mendahulukan apa yang dikehendaki oleh agama seperti keadilan, pertahankan yang lemah dan apa yang diajar oleh rasulullah s.a.w. Ertugrul sentiasa berhadapan dengan masalah seperti masalah keluarga, konflik kaum dia, ancaman dari musuh dan lain-lain namun dengan kebijaksanaannya beliau berjaya menguruskan masalah tersebut.

Pemain bola sepak terkenal, Mesut Ozil dan isteri di set Dirilis: Ertugrul

Dirilis: Ertugrul hanya satu permulaan…

Fenomena Dirlis: Ertugrul ini merupakan petanda positif untuk industri perfileman umat islam. Setelah sekian lama kita disajikan dengan filem barat yang menggambarkan umat islam dengan gambaran negatif, kini kita ada drama yang boleh dibanggakan. Dengan kejayaan drama bersiri Dirilis: Ertugrul disiarkan selama 5 musim, pihak produksi kini merancang untuk menghasilkan drama mengenai Osman Gazi, anak Ertugrul pengasas empayar Uthmaniyyah (Kurulus: Osman kini sedang ditayangkan untuk musim pertama). Sambutan menggalakkan Dirilis: Ertugrul ini hanyalah permulaan dan menjadi jaminan untuk penerbit-penerbit filem atau drama untuk lebih berani menghasilkan karya berunsurkan islam.

*Jejak Uthmaniyyah kini menawarkan pakej Ertugrul Tour untuk mendalami sejarah tokoh ini. Anda boleh ke https://jejakuthmaniyyah.com/ untuk info lebih lanjut.

What is your opinion ?

comments

Apa pandangan anda ?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.