Apakah Pencetus Kemodenan Di Dalam Era Uthmaniyyah ?

Francis Bacon (1561-1626) berkata yang membawa maksud, permulaan yang mencetuskan era moden ini adalah mesin pencetak (printer), kompas dan serbuk letupan.

 


Mungkin agak pelik untuk kita kaitkan hubungan antara 3 benda di atas dengan era kemodenan dalam pelbagai aspek yang kita gapai sekarang.

  • Tetapi kita dapat lihat serbuk letupan memberi makna yang baru dalam menggapai kejayaan dalam peperangan.
  • Kompas pula sebagai alat yang baru dalam pelayaran di lautan terbuka.
  • Manakala mesin pencetak adalah sebagai petunjuk bahawa penyebaran informasi dan ilmu pengetahuan sudah mula ditekankan.

Sewaktu kurun ke-15, teknologi baru ini iaitu mesin pencetak telah mula tersebar luas yang bermula dari Eropah.

Kendatipun begitu, kesemua pemerintahan Timur khususnya Kerajaan Uthmaniyyah, hanya mempunyai syarikat pencetakan tersendiri beberapa kurun kemudian.
Hal ini telah serba sedikit menyebabkan berlakunya kelewatan dalam pemordenisasian mereka.

Empayar Uthmaniyyah sebenarnya telah diperkenalkan dengan mesin pencetak ini sejak 1493 sewaktu,

golongan Yahudi telah dihalau keluar dari Sepanyol

dan mereka membawa sekali mesin ini bersama mereka.

Walaupun begitu, mereka ini dikawal rapi oleh pendeta, yang hanya membenarkan pencetakan dibuat atas dasar agama.

Juga dalam kebanyakan negara Islam termasuklah Uthmaniyyah, ekonomi mereka ini dikawal oleh kerajaan tempatan dan sistem narh (iaitu pihak kerajaan meletakkan harga tetap ke atas komoditi yang penting) telah dilaksanakan.

Maka, pihak pengusaha yang bersendiri ini tidak mampu mencari titik bagi memajukan perniagaan mereka apatah lagi membuat syarikat penerbitan.

Walaupun terdapat juga isu keagamaan dan reformasi dalam kalangan negara-negara Eropah berkaitan buku-buku yang dicetak di sana, pihak Kerajaan Uthmaniyyah tidaklah bersikap bias dalam mencetak buku-buku yang tidak mempunyai kaitan dengan agama.

Sultan Murad ke-3

Misalnya sewaktu pemerintahan Sultan Murad III (1574-1595), terdapat orang asing yang meminta kebenaran bagi mencetak buku-buku di dalam Bahasa Turki dan telah dikecualikan daripada kastam serta telah diluluskan permohonannya. Dia telah mencetak buku itu dan telah memasukkan firman (imperial edict) ke dalam edisi tersebut.

Idea bagi mengutamakan mesin pencetak ini juga telah dicetuskan kembali pada zaman pemerintahan Sultan Ahmed III (1703-1730), yang juga dikenali sebagai ‘Era Tulip’. Seterusnya, penggunaan mesin pencetak secara rasmi telah dibenarkan oleh ulama’ pada 1722.

Sejarawan A. Demeerseman telah mengatakan bahawa, hal ini telah menjadi permulaan dalam pembaharuan di dalam masyarakat Islam.

Kedatangan Ibrahim Müteferrika

Ibrahim Sedang Meniliti Setiap Meniliti Manuskrip Yang Dihasilkan

Ibrahim Müteferrika telah memainkan peranan besar dalam meneruskan bahagian pencetakan ini juga sebagai sebuah pekerjaan bagi Empayar Uthmaniyyah.

Tetapi, siapakah beliau?

Beliau berasal dari Kolozsvar (kini dikenali Cluj-Napoca, Romania), berbangsa Hungary dan dilahirkan pada tahun 1674 (ada riwayat mengatakan pada 1670).

Meninggal dunia di Istanbul dan makamnya berdekatan dengan Grand Bazaar.

Statue Ibrahim Muteferrika Di Kawasan Deretan Kedai-kedai Buku di Kawasan Beyazit-Grand Bazar

Beliau telah dibawa oleh Kerajaan Uthmaniyyah setelah berlaku Pengepungan Kedua Vienna. Bekerja di dalam perkhidmatan sejak 1692 dan telah diberikan pelbagai jawatan dalam pekerjaannya.

Beliau sangat berminat dalam bidang sejarah, astronomi, geografi, sosiologi, ekonomi dan bahasa. Ibrahim juga telah mempelajari Bahasa Turki, Arab dan Parsi serta perundangan dan menjadi seorang ‘Müteferrika’.
Gelaran ‘Müteferrika’ ini diberikan kepada sesiapa yang bekerja dalam pelbagai perkhidmatan kerajaan dan makhkamah.

Sebagai seorang ‘Müteferrika’, beliau telah menjadi seorang diplomat, jurubahasa dan sejarawan.

Seterusnya, Ibrahim Müteferrika telah menerima pangkat Hacegan (ilmuwan dalam agama dan sains) dalam Mahkamah Diraja.

Antara paling besar jasanya di dalam sejarah Uthmaniyyah adalah beliau menubuhkan syarikat pencetakan pertama di Istanbul bersama-sama dengan Said Bey yang merupakan anak kepada Yirmisekiz Mehmed Çelebi.

Ditambah lagi Ibrahim menguruskannya dengan sistematik. Beliau tidak hanya menjadi pengurus bagi syarikat penerbitan tersebut, malahan juga turut bekerja keras sebagai seorang penulis, editor dan juga menyumbangkan idea serta penulisan dalam buku-buku lama seperti karya agung Katip Çelebi yang bertajuk Cihannüma.

Sumbangan idea beliau sangat besar walau ditentang keras oleh sebahagian ulama’ disebabkan ketakutan mereka terhadap orientalis dan pengaruh-pengaruh agama serta karikatur Kristian yang akan mempengaruhi kandungan pencetakan dll.

Peta Tanah Melayu Kepunyaan Ibrahim Müteferrika

Kepentingan Mesin Pencetak Menurut Müteferrika

Keperluan serta kepentingan printer ini telah dinyatakan oleh beliau di dalam laporannya yang bertajuk “Risaletu’l müsemmati bı Vesiletü’t-tıbaa” (Kepentingan Pencetakan), yang mana telah diberikan kepada Perdana Menteri Ibrahim Pasha ketika itu.

Secara ringkasnya seperti berikut:

  1. Bahasa Arab merupakan sumber utama bagi kesemua (kebanyakan) ilmu. Maka, buku-buku berkenaan Bahasa sepatutnya lebih banyak lagi diterbitkan dan diedit.
    Ianya akan menjadi khidmat yang sangat besar buat orang awam jika buku-buku tentang sejarah, falsafah dan geografi dicetak dengan bilangan yang banyak.


  2. Sejak bermulanya penubuhan kerajaan-kerajaan Islam, pelbagai buku dan karya telah ditulis oleh para tokoh dan penulis untuk memperbaiki kefahaman agama, kerajaan, sosial dan juga bagi manfaat manusia sejagat. Buku-buku ini boleh diedit dan dicetak semula.
    Demikiannya, dunia keagamaan dan akademik akan memperoleh semangat & motivasi semula. Begitu juga, tokoh-tokoh lampau dan penulis dapat dihidupkan kembali melalui pencetakan semula.


  3. Buku-buku yang diterbitkan melalui teknik pencetakan mempunyai kualiti tulisan yang lebih baik, kurang kesalahan dari segi ejaan dan lebih terurus.
    Hasilnya, para penuntut ilmu tidak akan membazir masa dalam melakukan pencarian serta lebih mudah dalam mendapatkan maklumat yang sahih dan tidak perlu meneliti pada setiap manuskrip.
    Ilmu dan informasi akan mudah untuk diperolehi.


  4. Harga akan menjadi lebih murah dan dapat dimiliki oleh semua orang tidak kira kaya ataupun miskin juga yang tinggal di pedalaman kerana setiap manuskrip yang telah diteliti dengan baik akan dapat diterbitkan dalam kuantiti yang sangat banyak.
    Akhirnya, akan melahirkan bangsa yang berpengetahuan.


  5. Penghasilan salinan yang banyak akan memberi kemudahan bagi wilayah-wilayah lain untuk mendapatkan karya-karya yang diingini serta membolehkan mereka untuk mempunyai perpustakaan tersendiri.

Selain daripada itu, mesin pencetak juga menjadi kunci kepada penyelesaian buta huruf.

“You can’t have an industrial revolution, you can’t have democracies, you can’t have populations who can govern themselves until you have literacy. The printing press simply unlocked literacy”

-Howard Rheingold-

Begitulah keutamaan yang diberikan dalam penyebaran ilmu oleh tokoh-tokoh zaman dahulu. Pengorbanan mereka bukan hanya berupa individualistik, akan tetapi untuk manfaat generasi demi generasi. Malangnya bagi Ibrahim Müteferrika, beliau bukanlah seorang yang dikenali atau masyhur.

Lagi menyedihkan apabila ramai di antara kita yang meninggalkan buku dan beralih ke gajet semata-mata.

Buku-buku hanya dipaparkan di almari, media sosial. Jika tidak didalami, maka ianya hanyalah hiasan tanpa membawa apa-apa makna yang lebih daripada itu.
Rujukan:

  • Orhan Koloğlu, Ibrahim Müteferrika: A Pioneer in Turkish Book.
  • Erhan Afyoncu, Ibrahim Müteferrika, Islam Ansiklopedisi.

 

 

Muhamad Hazim
Ankara, Türkiye

What is your opinion ?

comments

Apa pandangan anda ?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.